Monday, January 17, 2011
Dikubur duduk dalam lubang
[HM] -KOTA SAMARAHAN: Bimbang rahsia kegiatan jenayah mereka terbongkar, sekumpulan lelaki dipercayai ahli sindiket curi motosikal dan pecah rumah membelasah remaja berusia 15 tahun hingga mati sebelum menanam mayatnya dalam lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di Kampung Pendam, Sadong Jaya.
Jenayah itu dikatakan dilakukan ahli sindiket terbabit bagi mengelakkan rahsia mereka terbongkar dan diketahui pihak berkuasa, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan bahaya.
Mangsa dikenali sebagai Taufik Abdul Rahim, dari Kampung Iboi, dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui dalam keadaan duduk dalam lubang cetek di belakang rumah suspek kira-kira jam 8 pagi semalam.
Pembunuhan itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun ketika menunggang motosikal milik remaja berkenaan di sekitar kawasan kampung berkenaan beberapa jam sebelum mayat mangsa ditemui.
Suspek yang juga penganggur membawa polis ke lokasi mayat mangsa ditanam, di belakang rumahnya selepas disoal siasat polis.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, mangsa dilaporkan hilang pada Sabtu lalu ketika ke kedai membeli barang keperluan dapur dengan menunggang motosikal Modenas Kris milik abangnya.
Katanya, bapa mangsa membuat laporan polis pada jam 1.30 tengah hari kelmarin dan polis yang menjalankan siasatan tidak menunggu lama untuk menyelesaikan kes itu apabila menahan seorang lelaki menunggang motosikal mangsa di sekitar Kampung Pendam.
Beliau berkata, suspek yang tinggal berseorangan dipercayai mengenali mangsa dan berdasarkan siasatan awal, remaja berkenaan dibunuh kerana mengetahui kegiatan suspek bersama beberapa lelaki lain yang terbabit dalam aktiviti mencuri motosikal dan pecah rumah di sekitar kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dibelasah menggunakan kayu sebelum mayatnya ditanam dalam keadaan duduk di dalam lubang sedalam 0.5 meter di belakang rumah suspek,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di lokasi mayat ditemui mendapati mangsa berpakaian lengkap itu mempunyai kesan luka di kepala.
Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, polis menjejaki lima lagi suspek berusia 30-an yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.
Arwah Renung Selimut
KOTA SAMARAHAN: Bapa kepada remaja mangsa pembunuhan yang mayatnya ditanam dalam lubang di belakang rumah di Kampung Pendam, Sadong Jaya, semalam tidak menyangka tingkah laku pelik arwah merenung selimut sebaik terjaga daripada tidur beberapa hari lalu sebenarnya membawa petanda buruk.
Abdul Rahim Hassan, 42, berkata, malam sebelum menghilangkan diri, anak ketiga daripada lima beradik itu tiba-tiba terbangun daripada tidur dan merenung selimutnya seolah-olah merinduinya.
“Ketika itu, saya tidur di sebelahnya dan ternampak perbuatannya agak pelik itu, namun tidak menyangka itu petanda dia meninggalkan kami semua,” katanya.
Abdul Rahim berkata, dia percaya anaknya, Taufik, 15, dibunuh suspek bersama beberapa lelaki lain kerana khuatir rahsia kegiatan jahat mereka terbongkar dan diketahui pihak berkuasa.
“Anak saya seorang pendiam dan senang untuk lain orang mengambil kesempatan ke atas dirinya, namun kami percaya dia tidak terbabit dalam sebarang kegiatan haram,” katanya.
Surah al-ahzab.
66. pada masa muka mereka dibalik-balikkan Dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau Kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.
67. dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan Kami dari jalan Yang benar.
68. "Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka Dengan laknat Yang sebesar-besarnya!". [surah al-ahzab ayat 66,67,68 ]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment